"Chef To Pro" menjadi salah satu kebitaraan di sekolah ini bagi menggilap kemahiran pelajar dalam bidang masakan.Program ini sekaligus bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan pekerja-pekerja berkemahiran menjelang 2020 melalui Pelancaran Pelan Induk Latihan dan Pembangunan Kemahiran Pekerjaan Malaysia yang dirangka khusus untuk membina keupayaan melalui penghasilan modal insan kelas pertama yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 3 Mei 2008.
KERATAN AKHBAR BERITA HARIAN MENGENAI 'CHEF TO PRO' SMK DESA KENCANA
Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Kencana, Lahad Datu, Sabah, muncul sekolah rancangan Felda pertama menerima pengiktirafan sebagai Sekolah Kluster bagi kategori sekolah harian biasa luar bandar.
Pengiktirafan sekolah terletak di Wilayah Felda Sahabat, kawasan peladangan sawit terbesar negara sejak tahun lalu itu berdasarkan peningkatan prestasi serta potensinya menjadi lebih cemerlang.
Berbeza dengan Sekolah Kluster lain kerana SMK Desa Kencana menjadikan bidang masakan sebagai kebitaraan, selain olahraga dan bahasa Inggeris untuk dilonjakkan hingga peringkat antarabangsa.
Pengetuanya, Ganesan Manickam, berkata masakan dijadikan kebitaraan kerana pihaknya mahu memperkenal serta mengembangkan resipi masakan etnik Sabah bukan saja ke peringkat kebangsaan malah antarabangsa.
“Setakat ini, guru kami melatih 35 pelajar melalui program ‘Chef to Pro’ dengan kerjasama chef serta pelbagai institusi, antaranya Institut Perguruan Teknik Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Malaysia Sabah.
Beliau berkata, olahraga pula dipilih kerana sukan itu mengharumkan nama SMK Desa Kencana hingga ke peringkat antarabangsa.
“Acara paling menonjol ialah merejam lembing, lompat kijang dan larian berpagar. Beberapa pelajar pernah meraih pingat emas dan perak di kejohanan sukan sekolah-sekolah Malaysia serta antarabangsa, sejak 10 tahun lalu.
“Pemilihan bahasa Inggeris sebagai kebitaraan akademik kerana mutu pencapaian pelajar dalam subjek ini menunjukkan peningkatan setiap tahun dan berpotensi dibudayakan,” katanya.
Genesan berkata, SMK Desa Kencana yang dibina Felda sejak 13 tahun lalu pada peringkat awal mempunyai cuma 333 pelajar Tingkatan Satu dengan empat guru, termasuk Pengetua ketika itu, Wajuhus Juhin.
Bagaimanapun, katanya, sekolah itu kini mengalami banyak perubahan termasuk dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya makmal, bilik Oracle, bilik akses, bilik bahasa, gimnasium dan medan kecergasan.
“Kecemerlangan sekolah ini adalah hasil permuafakatan guru, pelajar, ibu bapa dan pengurusan Felda yang sentiasa memberi bantuan serta sokongan.
“Dengan visi ‘SMKDK Sekolah Gemilang’ kejayaan ini juga hasil kesungguhan 110 guru yang tidak pernah kenal erti putus asa untuk mendidik 1,915 pelajar, majoriti anak peneroka Kampung Desa Kencana.
“Walaupun 90 peratus tenaga pengajar sekolah ini guru muda dan berpengalaman mengajar kurang lima tahun, semangat dan komitmen mereka cukup tinggi,” katanya.
INFO: Antara Anugerah Diterima SMKDK
Berita Harian Online: 5 Ogos 2009